Belajar Forex dengan saya

Saturday, November 24, 2012

Rakyat Perlu Diberi Ruang Bantah Kekejaman Israel Di Gaza – Hishammuddin

Rakyat Perlu Diberi Ruang Bantah Kekejaman Israel Di Gaza – Hishammuddin PUTRAJAYA, 22 Nov - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata rakyat perlu diberi ruang untuk meluahkan kesedihan, bantahan dan menyatakan pendirian bagi membantah kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza. Katanya ini bagi mengelakkan mereka melakukan perkara-perkara di luar batasan sehingga kemungkinan diterjemahkan ke arah keganasan atau menyertai kumpulan militan. “Jika tidak ada ruang pun untuk menyatakan pendirian, tidak mustahil tindakan-tindakan yang lebih ganas (akan berlaku), kumpulan-kumpulan militant yang boleh mengambil tindakan yang lebih teruk kerana kita rasa bahawa kita tidak ada ruang untuk meluahkan apa yang terbuku dalam jiwa,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gelombang Kedamaian 1KDN dan Tabung Kecemasan Gaza di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar. Malah Hishammuddin berkata perhimpunan warga Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut disertai kepimpinan tertinggi kementerian hari ini adalah satu daripada usaha untuk mewujudkan gelombang keamanan sejagat dan mengecam keganasan yang dilakukan Israel. Katanya gelombang keamanan sejagat perlu diterapkan dalam skuad itu yang dianggotai sukarelawan di bawah agensi-agensi kementerian kerana golongan muda perlu disemai dengan nilai-nilai murni ke arah keharmonian, kesejahteraan dan keamanan. Beliau berkata Timbalan Menterinya Datuk Lee Chee Leong akan mengetuai usaha untuk mewujudkan gelombang keamanan sejagat di kalangan anggota skuad melalui penganjuran pelbagai program, manakala seorang lagi timbalan menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop akan mengetuai gerakan kutipan Tabung Kecemasan Gaza peringkat kementerian. Hishammuddin berkata meskipun baru dilancarkan hari ini, tabung itu Berjaya memperoleh kutipan awal sebanyak RM126,000 dan warga KDN masih boleh menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan derita penduduk di Gaza. Menurutnya jumlah kutipan itu akan diserahkan kepada Tabung Kecemasan Gaza kelolaan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF)yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa. Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO tidak menolak kemungkinan isu mengenai kekejaman Israel akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 minggu depan. “Saya percaya jurucakap-jurucakap kita daripada sayap, negeri dan parti induk tidak boleh elak daripada membahaskannya. Ini merupakan sesuatu yang dekat dengan hati kita semua, pejuang-pejuang parti daripada dulu lagi,” katanya. share from : www.umno-online.my

No comments: