Belajar Forex dengan saya

Saturday, November 17, 2012

“Usaha Dalam Perjalanan” Untuk Ubah Nasib Rakyat- Najib

SUNGAI SIPUT, 17 Nov — Komitmen kerajaan untuk mengubah untung nasib rakyat Malaysia adalah “usaha dalam perjalanan”, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata walaupun telah banyak usaha yang dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan rakyat, namun kerajaan sedar banyak lagi perlu dilakukan. “Kita memerlukan sokongan rakyat, kita perlukan mandat baru daripada rakyat. “Jika tuan-tuan bagi mandat, saya jamin usaha ini bukan sahaja akan diteruskan malah akan diperhebatkan lagi pada masa yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2012 di Ladang Info Ternak Sungai Siput di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, serta pemimpin peringkat nasional dan negeri. Perdana Menteri berkata sebagai contoh, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan peruntukan yang besar untuk kesejahteraan masyarakat India. Katanya, antara usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India ialah dengan memberi peruntukan bagi pembangunan pendidikan dan kemahiran, pemberian biasiswa, serta menambah bilangan kemasukan ke universiti. “Sebagai satu kerajaan, kita telah lakukan banyak usaha untuk mengubah nasib rakyat Malaysia,” kata Najib. Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya berpegang kepada prinsip percaya mempercayai berdasarkan “nambikei” antara rakyat dan kerajaan. “Marilah kita berpegang kepada nambikei ini…janji kita akan kita tepati,” katanya. Najib turut melahirkan perasaan gembira dan terharu terhadap sambutan Rumah Terbuka Malaysia Deepavali yang dihadiri masyarakat berbilang kaum di negara ini. Beliau berkata sambutan seumpama itu mungkin tidak dapat diadakan di sesetengah negara kerana tidak wujud perasaan hormat menghormati antara satu sama lain. “Malah mereka berada dalam keadaan berbalah, curiga mencurigai antara satu sama lain, tapi di Malaysia kita dapat bertaut kepada semangat dan prinsip 1Malaysia yang menjadi ikutan dan penghayatan kita,” katanya. share from www.umno-online.my

No comments: