Tuesday, December 4, 2012
BN Yakin Menang Majoriti Dua Pertiga – Najib
KUALA LUMPUR, 1 Dis – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) yakin akan memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.
Perdana menteri, yang juga presiden UMNO berkata BN, gagasan yang memerintah dengan UMNO sebagai tonggak utama, akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu.
“Inilah sasaran kami, untuk mencapai majoriti dua pertiga, dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang akhbar selepas menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini hari ini.
Najib menyuarakan keyakinan bahawa momentum dan semangat parti yang terhasil daripada perhimpunan itu akan dapat dikekalkan sehingga pilihan raya umum.
“Momentum adalah baik dan saya pasti, saya amat yakin bahawa mereka (perwakilan Umno) akan membawa pulang semangat perhimpunan ini…mood perhimpunan keseluruhannya amat bertenaga,” katanya dan menambah UMNO sedia untuk ‘berperang’.
Ditanya bagaimana UMNO akan menangani sabotaj dalam parti, Najib yakin anggota UMNO akan bertindak rasional dan tidak akan merosakkan parti jika mereka benar-benar sayangkan UMNO.
“Kalau dalam hati dia sayangkan UMNO dan dalam minda dia tahu bahawa sesuatu perbuatan seperti itu boleh merosakkan parti, merosakkan dia juga, saya percaya dia akan bertindak secara rasional,” katanya.
Dalam ucapan penggulungannya, Najib melontarkan soalan ‘cepumas’ penuh bermakna bagi menguji tahap kesediaan anggota UMNO untuk menyokong parti sekiranya mereka tidak terpilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13 nanti.
Lima kemungkinan ditawarkan beliau bagi menjawab soalan cepumas yang sarat dengan mesej itu — sokong sepenuhnya calon dipilih parti; sokong; tidak bekerja; sabotaj; atau lompat parti.
Dalam ucapannya itu, beliau menyebut terdapat kes menteri dan timbalan menteri yang mengkhianati parti kerana gilakan kuasa setelah tidak lagi diberi jawatan.
share from www.umno-online.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment