Belajar Forex dengan saya

Thursday, November 28, 2013

Jangan Jadikan Isu Islam Sebagai Mainan Politik.

Jangan Jadikan Isu Islam Sebagai Mainan Politik – Dr Fathul Bari
Oleh Wan Hafiz Hamzah
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Dr Fathul Bari Mat Jaya meluahkan rasa hairan dan ragu apabila kepimpinan tertinggi Pas masih lagi tidak menyatakan pendirian rasmi parti tersebut berhubung tuntutan Comango, biarpun isu tuntutan gabungan NGO tersebut menjadi isu dasar yang diperbahaskan ketika muktamar Pas baru-baru ini.
Ujarnya, pendirian rasmi Pas berhubung isu tuntutan Comango ini amat penting kerana tuntutan yang dibuat oleh NGO tersebut amat jelas secara prinsipnya bertentangan dengan tuntutan Islam.
“Kita boleh lihat dalam beberapa hal yang terkandung di dalam tuntutan Comango ini suatu isu besar bagi umat Islam, seperti isu berhubung dengan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT), kesemarataan dalam agama yang ternyata bercanggah dengan prinsip Islam di negara ini.
fathul bari
“Biarpun ini isu yang bercanggah dan mengancam prinsip-prinsip Islam, tetapi mereka (kepimpinan Pas) tetap tidak bersuara. Maksud saya bersuara itu ialah menyatakan pendirian rasmi parti berhubung perkara itu secara tegas.
“Tetapi sebaliknya, dalam hal-hal yang kita cuba mencari titik persamaan sesama Islam, yang itu Pas dilihat lebih kerap bersuara untuk menimbulkan masalah khususnya dalam isu perpaduan sesama kita. Inilah yang membuatkan saya berasa amat hairan dan keliru dengan sikap kepimpinan Pas hari ini,” luah beliau kepada UMNO-Online disini hari ini.
Kata beliau lagi, contohnya ialah isu perpaduan umat Islam di mana yang terbaru, isu muzakarah antara UMNO dan Pas sekali lagi terbit dari kenyataan Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Haji Hadi Awang dalam ucapan penggulungan di muktamar Pas baru-baru ini.
“Kira-kira setahun yang lalu, ketika Presiden Pas menyatakan kesediaan kepimpinan Pas untuk bermuzakarah dengan sesiapa saja, termasuk UMNO, saya merupakan antara orang pertama yang secara terbuka menyahut tawaran tersebut.
“Namun akhirnya apa yang berlaku? Bila kita (UMNO) nyatakan persetujuan untuk bermuzakarah, ia berlalu sepi begitu saja. Sampaikan kita melalui ILMU, menghantar surat kepada pejabat Pas pusat dan sebagainya untuk menyatakan kesediaan kita bermuzakarah, tetapi sehingga ke hari ini tidak ada apa yang berlaku,” ujarnya.
Justeru itu, beliau meminta agar kepimpinan Pas tidak menjadikan isu muzakarah mahupun isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan umatnya sebagai retorik politik sahaja.
“Jika kita nak buat muzakarah untuk kepentingan kaum muslimin, untuk kepentingan Islam, maka kita buat secara serius. Jangan jadikan ia semata-mata sebagai satu mainan politik. Apa yang penting, ialah bila berbicara soal kepentingan Islam, baik UMNO atau Pas kita mesti sepakat.
“Berbalik kepada isu Comango tadi. Mengapa kita tidak berdiri teguh bersama-sama menentang dalam isu ini, seperti mana kita boleh bersama-sama dalam isu Palestin, isu Syiria? Saya nak juga, di dalam isu Comango, UMNO dan Pas bersama-sama,” katanya.
Jangan hanya kerana ada terdapat beberapa tokoh politik Pakatan Rakyat yang terlibat dalam Comango, menyebabkan Pas sampai hari ini tidak berani bersuara. Pas perlu menyatakan pendirian mereka dengan tegas, tegas beliau lagi.
“Pas mesti bersuara secara tegas. Presidennya bersuara, Ketua Pemudanya bersuara. Tetapi hari ini, kita tidak mendengar suara mereka. Di mana suara Pas dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam secara keseluruhnya ini,?”soalnya.
-MediaUMNO
share from : www.umno-online.my

No comments: