SURAKARTA (Jawa Tengah), 4 Sept – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) mampu meraih sokongan dua pertiga suara rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 dengan syarat anggota parti itu berfikiran waras untuk menerima dan menyokong siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon.
Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri itu mengingatkan anggota BN supaya tidak melakukan sabotaj semasa kempen pilihan raya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih pucuk pimpinan parti.
Ini kerana, katanya perbuatan itu boleh membawa padah sehingga menyebabkan BN kalah dalam pilihan raya kali ini.
“Kalau orang UMNO, orang BN mempunyai fikiran yang waras mereka akan dapat dua pertiga.
“Tapi kalau depa nak main… orang ini tak suka, orang itu tak suka, kalah pun boleh,” katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini.
Dr Mahathir pada Isnin menerima anugerah Doktor Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya Dalam Bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu oleh Universti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo), Jawa Tengah.
Ditanya mengenai kriteria yang perlu ada pada calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, Dr Mahathir berkata mereka mestilah terdiri daripada orang yang dikenali sebagai berfikiran waras, berpelajaran dan mempunyai pengalaman dalam selok belok negara demokrasi.
Katanya apa yang menjadi masalah dalam BN selama ini ialah siapa sahaja yang dipilih sebagai calon akan tidak dipersetujui oleh pihak tertentu dengan palbagai alasan, kononnya calon itu tidak tahu itu dan ini, dan sebaliknya merekalah orang yang lebih layak menjadi calonnya.
“Saya tak fikir (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) boleh pilih seorang yang boleh disukai oleh semua dalam bahagian itu. Dan kita dapati jadi satu tabiat dalam UMNO kalau tak suka dengan calon, akan tutup bilik gerakan, akan cuba sabotaj, cantas.
“Mereka bukan fikir tentang kemenangan bagi parti untuk membentuk kerajaan yang baik. Mereka cuma fikir tentang kepentingan orang tertentu sahaja, jadi mereka tidak matang,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata anggota UMNO dan BN harus sentiasa ingat bahawa pilihan raya merupakan satu proses untuk memilih sebuah parti yang disokong oleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
Katanya jika mereka menyedari hakikat itu, anggota parti harus menyokong siapa sahaja yang dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum nanti, termasuk calon yang bukan terdiri daripada anggota mana-mana parti komponen BN.
“Kita harus ingat, UMNO, ataupun MCA, ataupun MIC, ataupun Gerakan, tak mungkin menang tanpa sokongan daripada orang yang bukan ahli parti.
“Jadi kenapakah kalau orang yang bukan ahli parti yang menentukan kemenangan, tetapi kalau mereka dipilih (sebagai calon) parti tak mau sokong. Sepatutnya kita sokong. Payung terjun ni payung terjun la, kalau dia berkebolehan kita patut sokong kerana akhirnya kita nak tentukan parti menang,” katanya.
Ditanya sama ada BN boleh menang seandainya pilihan raya diadakan dalam waktu dekat, Dr Mahathir berkata beliau yakin BN akan menang namun beliau belum boleh meramalkan sama ada BN akan menang dengan majoriti dua pertiga.
“Saya ingat boleh menang, tapi masalahnya kita nak dapat satu majoriti yang cukup supaya mendirikan sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat,” katanya.
share from www.umno-online.com.my
No comments:
Post a Comment