Sunday, September 9, 2012
Jangan Terpengaruh Dengan Amalan Biadap, Kurang Ajar Pembangkang
Jangan Terpengaruh Dengan Amalan Biadap, Kurang Ajar Pembangkang
HULU SELANGOR, 8 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu agar tidak terpengaruh dengan gaya dan didikan pembangkang yang dilihat cuba menyemaikan budaya kurang ajar dan biadap dikalangan rakyat di negara ini.
Kata beliau, ini dapat dilihat dengan sikap pembangkang yang tidak lagi memperdulikan sensitiviti rakyat di negara ini seperti mana insiden terbaru, Pakatan Pembangkang cuba menghasut rakyat agar membuat perhimpunan yang semata-mata didasari agenda kepentingan politik mereka ketika sambutan hari kemerdekaan baru-baru ini.
“Kalau inilah nilai-nilai yang cuba diterapkan oleh pembangkang di negara kita, dengan menyemai kebencian di kalangan rakyat, bahkan cuba mencemari sambutan kemerdekaan yang telah sejak sekian lama kita sambut bersama, maka keharmonian dan keamanan negara kita akan tergugat,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Beliau turut menyelar sikap pakatan Pembangkang yang cuba mempolitikan tema hari kemerdekaan Janji Ditepati dalam sebahagian usaha mereka untuk menyemaikan kebencian rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
“Apa salahnya dengan tema itu? Saya pelik kenapa pakatan Pembangkang marah sangat dengan tema itu. Agaknya, mungkin disebabkan mereka tidak pernah menepati janji mereka. Janji Ditepati ini adalah satu nilai-nilai mulia baik untuk diri sendiri, rakyat mahupun negara.
“Perkara yang baik sepatutnya disambut dengan baik oleh rakyat. Apa yang baik untuk rakyat dan negara, kita perlu sambut dengan baik. Mungkin pembangkang memang jenis tidak menepati janji, itu sebab mereka marah.
“Ini bukan soal politik, tetapi tema Janji Ditepati ini mengajak rakyat untuk mengamalkan nilai-nilai murni ini. Ia selari dengan tuntutan Islam dan lain-lain kepercayaan,” jelas beliau lagi.
Selain itu, beliau turut menyeru ahli-ahli UMNO agar terus mengukuhkan perpaduan dan mempertingkatkan gerak kerja dalam usaha untuk mengembalikan semula Selangor di bawah pentadbiran BN.
“Saya minta kita, sebagai orang –orang UMNO berkorban nafsu dan tenaga demi untuk perjuangan dan jangan kita korbankan parti semata-mata atas sebab peribadi.
“Sebab itu kita perlu kukuhkan perpaduan di kalangan kita baik di cawangan dan bahagian, dan mempertingkatkan usaha kita memberi penerangan kepada rakyat, kerana itu merupakan resipi utama untuk kita mengambil semula Selangor dari tangan Pakatan Pembangkang,” ujarnya.
Tambahnya lagi, perpaduan yang kukuh bukan saja perlu di dalam UMNO, tetapi ia juga perlu terjalin dengan utuh di kalangan ahli-ahli dan kepimpinan barisan parti-parti komponen di dalam BN agar bersatu untuk menjayakan misi BN dalam usaha mempertingkatkan lagi pencapaian negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Sudah hampir 60 tahun kita berpakat bersama untuk membina sebuah negara bangsa yang hingga kini, terbukti bahawa pelbagai kaum dan bangsa yang dapat mencari rezeki dan menjalani hidup dengan aman dan harmoni tanpa rasa takut.
“Inilah yang kita mesti pertahankan daripada dicemar oleh golongan tertentu yang cuba merosakkan hubungan baik antara kita yang sejak sekian lama terjalin,” jelas beliau. -MediaUMNO
share from : http://www.umno-online.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment