Friday, March 29, 2013
Jangan Terikut Stail Politik Longkang Pakatan Pembangkang – Khairy
Oleh : Wan Hafiz Hamzah
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia, Khairy Jamaluddin meminta semua aktivis siber Pemuda BN agar tidak terikut-ikut dengan pendekatan politik longkang pakatan pembangkang yang lebih suka menabur fitnah dan tohmahan yang tersebar luas di dalam media sosial hari ini.
Menurut beliau, aktivis siber Pemuda BN perlu lebih berhemah dalam usaha menyebarkan maklumat bagi menangkis fitnah dan tohmahan dengan disertai hujah yang berdasarkan fakta-fakta, bukti yang sahih dan benar.
“Kita tak perlu terikut-ikut untuk main politik longkang sepertimana mereka dari pakatan pembangkang. Jelas pada kita hari ini, mereka dari pembangkang cukup mudah menabur tohmahan dan fitnah dalam dunia siber. Kalau pakatan pembangkang suka main politik longkang sebegitu, biarkan mereka dengan cara mereka.
“Saya yakin rakyat juga tidak bersetuju dan menentang politik longkang pakatan pembangkang hari ini. Justeru itu, aktivis siber Pemuda BN, yang juga menjadi penyebar maklumat dalam dunia media baru hari ini perlulah lebih baik, lebih mulia dan lebih berhemah pendekatannya berbanding dengan mereka dari pakatan pembangkang,” tegas beliau ketika berucap di dalam program Himpunan Aktivis Siber Pemuda BN di Royale Bintang Damansara, Kota Damansara hari ini.
Selain itu, beliau juga menegaskan penyampaian aktivis siber Pemuda BN perlulah dengan cara yang lebih baik dan berhemah yang dapat menawan hati dan minda rakyat bagi mempermudahkan penerimaaan rakyat terhadap maklumat yang disalurkan.
“Kalau kita dapat memberikan hujah yang penuh dengan statistik, bukti yang jelas dan kukuh, maka tidak ada siapa yang boleh sanggah maklumat yang kita berikan. Maka dengan itu, kita dapat mempengaruhi dan merasionalkan pemikiran rakyat dengan fakta dan bukti sahih yang kita sebarkan melalui media sosial hari ini.
“Tetapi kita perlu ingat, dalam menawan hati dan minda rakyat, kita bukan sekadar memerlukan fakta yang kukuh, atau bukti yang jelas, tetapi cara dan corak penyampaian kita dengan berhemah juga amat penting untuk memastikan maklumat yang ingin kita sampaikan itu menyentuh hati rakyat terutamanya pada golongan muda,” katanya.
Program Himpunan Aktivis Siber Pemuda BN dihadiri oleh lebih 500 aktivis BN Youth Cyberteam (BNYCT) dari seluruh pelusuk negara ini yang turut menyaksikan pelancaran aplikasi BN Youth untuk pengguna telefon bimbit yang menggunakan sistem Android. Manakala bagi pengguna Iphone dan Blackberry, aplikasi ini boleh dimuat turun dalam masa yang terdekat.
Himpunan Aktivis Siber Pemuda BN ini turut dihadiri oleh pemimpin pemuda parti komponen antaranya Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong, Ketua Pemuda PPP, Haridz Mohan, Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Lian, Ketua Pemuda Gerakan Pahang, Ong Boon Hong, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, dan beberapa pemimpin BN yang lain.- MediaUMNO
Satu Briged PGA Ditempatkan Di ESSZONE- Hishammuddin
Satu Briged PGA Ditempatkan Di ESSZONE- Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Satu briged Pasukan Gerakan Am (PGA) akan diletakkan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bertujuan memperkukuh ketenteraman awam dan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penempatan PGA itu sebagai kekuatan tambahan kepada lima batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di kawasan berkenaan.
“Kita akan tambah briged PGA itu di peringkat polis yang ada di Sabah dan bergabung dengan lima batalion ATM untuk memperkukuhkan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas majlis peringatan Hari Polis ke-206 di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan ESSZONE membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau yang berkuat kuasa hari.
Berikutan itu, jumlah polis sokongan di negeri berkenaan dijangka ditambah selain memperluas Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“Kita sedang fikir untuk menambah polis sokongan di estet-estet dan kawasan Felda di Sabah dan perluaskan URB seluruh negara yang mana di Sabah, URB akan beroperasi di taman-taman perumahan termasuk di Sandakan dan Kota Kinabalu,” kata Hishammuddin.
URB menggunakan motosikal Kawasaki Ninja berkuasa 250 cc. Daripada 1,000 unit yang diperuntukkan untuk peringkat awal, 560 dibekalkan kepada polis di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, manakala baki akan diagih secara berperingkat bagi tujuan rondaan di kawasan perumahan dan perniagaan.
Hishammuddin berkata perdana menteri turut meluluskan peruntukan untuk pembelian tambahan motosikal itu kerana yakin terhadap kemampuan URB dalam mengurangkan jenayah.
Dalam pada itu, beliau berkata tujuh balai polis akan dibina di pulau-pulau strategik, manakala tempat keluar masuk yang dikenal pasti akan mempunyai pusat kawalan imigresen serta Kompleks Kastam dan Kuarantin (CIQ).
Menurutnya, tiga balai polis sementara menggunakan kabin telah tiba di Lahad Datu dan akan beroperasi dalam masa terdekat sementara menunggu pembinaan tujuh balai polis tetap.
Mengenai rakyat di Sabah yang terpaksa dipindahkan bagi tujuan keselamatan, Hishammuddin berkata beberapa lokasi telah dikenal pasti bagi tujuan itu dan lokasi tersebut boleh diterima penduduk terlibat.
Antara kawasan terlibat ialah perkampungan air dan beberapa kawasan perkampungan di bandar yang menjadi kawasan panas jenayah, katanya sambil berharap tiada pihak cuba mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan penduduk berhubung perkara itu.
share from www.umno-online.my
Dulu Salah Kira, Sekarang Silap Taip.. Guan Eng Memang Pakar Akauntan Putar Angka
Dulu Salah Kira, Sekarang Silap Taip.. Guan Eng Memang Pakar Akauntan Putar Angka
Dulu Salah Kira, Sekarang Silap Taip.. Guan Eng Memang Pakar Akauntan Putar Angka
Oleh: Azlina Rosdy
PULAU PINANG, 29 Mac – Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus dibidas berhubung alasan tersalah taip kos pembinaan projek teorowong dasar laut di Pulau Pinang.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaikh Hussein Mydin, Guan Eng yang mempunyai latar belakang sebagai akauntan menjadikannya seorang pakar kreatif memanipulasi akaun dan angka.
Kerana itulah kata beliau Guan Eng amat gemar menggunakan angka dalam setiap kenyataan yang diberi.
“Ini bukan kali pertama dia mengelirukan rakyat dengan angka. Jika kita tidak pandai, memang kita akan menerima apa sahaja kenyataan Guan Eng tetapi apabila terperangkap, alasan tidak logik akan diberikan. Dengan latar belakang seorang akauntan, menjadikan dia amat pakar untuk memanipulasi angka.
“Amatlah tidak masuk akal alasan yang diberinya iaitu salah taip. Dulu semasa pemilihan Jawatan Kerja Pusat (CEC), alasannya salah kira, kali ini salah taip dan Guan Eng mahu semua orang menerima alasannya ini. Adakah patut seorang Ketua Menteri mengulangi kesalahan yang sama berulangkali dan memberikan alasan tidak munasabah bila terperangkap.
“Kemudian seperti biasa mereka akan salahkan Barisan Nasional (BN). Yang boleh buat salah mereka tetapi orang lain tidak boleh. Jika kita tidak desak sudah pasti kehilangan RM2.25 billion tidak akan diketahui rakyat. Adakah DAP menganggap rakyat begitu bodoh?,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Shaikh Hussein, inilah rupa sebenar DAP.
“Mereka hanya mahu kelirukan rakyat kononnya kos sebenar yang diumumkan melebihi RM8 billion telah dapat dikurangkan kepada RM6.3 billion. Tetapi DAP lupa, jumlah sebenar yang telah diumumkan terlebih dahulu untuk pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya adalah RM4.08 billion.
“Apabila BN Pulau Pinang terus mendesak berkenaan peningkatan jumlah kos ini barulah mereka membuat kenyataan kononnya salah taip. Logik ke alasan seperti ini? Layakkah orang seperti ini mahu memimpin negara?
“Sekiranya nanti apabila mereka telah mendapat mandat memimpin negara dan perkara seperti ini terjadi, adakah alasan bodoh seperti itu juga mahu diberikan kepada rakyat… Jadi, pada PRU-13 akan datang saya berharap rakyat tidak akan silap ketika mengundi.
“DAP harus disingkirkan dari negeri ini kerana mereka tidak layak terus memegang tampuk pemerintahan Pulau Pinang. Di tangan mereka, ekonomi negeri ini turut merudum,” ujarnya lagi. - MediaUMNO
Subscribe to:
Posts (Atom)